Feb
06
Filed Under (Berita) by Mahadi on 06-02-2009

Salam bahagia, salam sejahtera dan salam perdamaian pada semua. Moga kalian dalam pimpinan Ar-Rahman senantiasa hendaknya.

Mulai dari ketika ini, penulisan kesinam bungan blog ini kini berpindah ke laman yang baru. Dijemput pembaca sekalian untuk melawati laman baru ini di http://machinashire.blogspot.com/ (lihat sebelah)——————>

Untuk kemudahan, dinyatakan juga disini bahawa segala isi penulisan di dalam laman ini turut dipindahkan sepenuhnya di laman baru.

Harap maklum.

Yang menjalankan tugas,

Penulis.

Feb
04
Filed Under (Piece, Religion, Uncategorized) by Mahadi on 04-02-2009

Ada bisikan.
Ya, ada terdengar bisikan, berdesir bagai angin lalu.
Seakan, ia satu seruan.
Satu panggilan.
Dari satu tempat yang jauh.
Tempat yang kering.
Tempat yang gersang.
Apakah ia dari tempat itu?
Dari bumi tempat para anbiya’ berjuang itu kah?

Feb
03
Filed Under (Cerita, I Still Remember, Kisahnya, Story) by Mahadi on 03-02-2009

Aku ada seorang kawan di sekolah menengah. Namanya Salmi, seorang jejaka. Nama singkatannya Mie.

Ada satu hari. Aku ada satu ‘menatang’ ni. Tak silap, aku dapat dari kedai ‘maknya’ (kedai cina) pekan Merbok. Ia model ikan diperbuat dari getah. Panjang, bentuk macam belut. Kecil, dekat-dekat saiz seekor cicak dewasa.

Mie tengah rajin buat latihan masa itu. Badan menunduk ke meja. Dua-dua tangan sampai paras siku dia letak atas meja. Tangan kanan pegang pen, tulis. Tangan kiri atas buku, tahan supaya buku tak gerak-gerak jadi tulisan tak buruk sangat. Sangat khusyuk.

Cikgu baru keluar. Aku hampiri dari belakang senyap-senyap. Aku julang menatang tinggi-tinggi, betul-betul atas kepala Mie. Gayanya, menatang itu seakan jatuh dari langit siling. Aku tetapkan sasarannya pada lokasi dalam lingkungan kawasan buku latihan yang terbuka luas.

Aku bukakan sepitan antara ibu jari dan jari telunjuk yang sebelum ini tega mengetip bahagian ekor menatang.

Tup… Menatang jatuh. Jatuh betul-betul di kawasan sasaran. Atas buku latihan yang Mie tengah khusyuk menulis. Menatang diperbuat dari getah. Masa mula-mula mendarat, nampak ia melibas sedikit ekornya.

Mie berhenti menulis. Dia jenguk dan perhati menatang dari arah kanan. Lepas tu arah kiri. Akhir sekali, dia perhati dari depan. Aku hampir berputus asa. ‘Budak ini bukan jenis terkejut dengan menatang gamaknya’, teka aku.

Dan tiba-tiba. Mie angkat kedua-dua tangan dengan pantasnya. Posisi dia macam orang tengah ’surrender’. Tapi tangan kanan masih pegang pen.

Aku gelak terkekeh. Aku ambil balik menatang atas buku. Nampak Mie bernafas turun naik seperti orang kepenatan. ‘Ceh, aku ingat cicak tadi’, katanya.

Dalam masa itu, seingat aku, dia satu-satunya manusia yang ambil masa paling lama untuk respon terperanjat kat menatang. Dia ambil masa beberapa saat. Tapi orang lain biasanya tidak sampai satu saat untuk terperanjat, atau kalau budak pompuan perempuan terus menjerit lalu tinggalkan meja.

Kadang-kadang dari masa ke masa, aku akan teringat balik kisah Mie tadi. Dan serentak juga aku tergelak terkekeh. Ataupun, paling minima, aku tetap akan tersenyum bersahaja.

Bentuk menatang tu lebih kurang macam ni la

Feb
02
Filed Under (Cerita, I Still Remember, Kisahnya, Music, Religion, Story) by Mahadi on 02-02-2009

Tiba-tiba penulis teringat lagu ini. Counting Crows-Big Yellow Taxi. Lagu lama, tapi dinyanyikan semula. Banyak pengertian terdapat dalam liriknya, terutama pada bait-bait berikut.

Don’t it always seem to go
That you don’t know what you got till it’s gone…

Bahagian Trivial
Bila mendengarkan lagu ini, penulis pasti terbayang kehidupan kampus di USM ketika itu. Lagu ini mengingatkan zaman dimana penulis masih lagi tahun satu dan mengambil jurusan sains dengan pendidikan (ketika itu). Walaupun lagu ini sering berkumandang dari segala macam sumber media hiburan, tetapi keseluruhan rangkap liriknya diketahui penulis setelah diperkenalkan oleh Lutfi. Masa itu juga kami ada mengambil kursus yang sama yakni ZCA101 (Fizik Mekanik). Dan masa itu juga penulis akan pergi ke bilik Lutfi untuk sama-sama menuggu beberapa ketika dia bersiap dan bergerak ke kuliah. Memang masa itu.

Bahagian Sebenar
Sedar atau tidak, ia sering terjadi dalam kehidupan kita. Adakala kita terlupa akan perkara-perkara yang menyumbang dan menyempurnakan hari demi hari yang kita lewati. “Take it for granted” mungkin sangat sesuai untuk menggambarkan keadaan ini.

Kita gembira bersama teman-teman disisi, aktiviti-aktiviti yang kita lakukan, ataupun mungkin barangkali barang-barang kepunyaan kita. Dan kita sering terlupa, semua itu tidak akan kekal selamanya. Gembira atas segala nikmat hidup ini tidak salah. Tetapi awas jika kita terleka dan terlupa untuk mensyukuri ke hadrat Illahi atas segala nikmat ini. Cuba kita bayangkan, nikmat yang membahagiakan kita itu ditarik balik oleh penciptaNya. Adakah kita berputus asa terhadap Tuhan dan semakin menjauhiNya kerana menghilangkan kebahagiaaan ‘milik’ kita (wa’iyazubiLlah). Atau kita sekadar akan meratapi kehilangannya sehari-hari. Ataupun, kita redhai pemergian yang berlaku kerana sudah tiba masanya pemilikNya menuntut kembali pemberianNya dan seterusnya menilai kembali keimanan kita.

Dimana jua pendirian dan pendapat pembaca sekalian, penulis percaya dan berpegang bahawa selagi kita menyedari yang semua ini hanya pemberian buat sementara waktu oleh Al-Khalik bagi menguji keimanan hamba-hambanya, selagi itu kita pasti selamat dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang telah/sedang/akan berlaku.

Dan kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti? (Surah Al-An’am; ayat 32)

Jan
31
Filed Under (Karya, Piece) by Mahadi on 31-01-2009

Atas sekeping nota
Ku titipkan coretan
Ingatan dan pesan
Lalu ku simpan
Sebelum ladeni mimpi malam

Mimpi malam datang
Bawa daku tinggi keawan
Dan bulan bintang jadi teman

Saat mimpi malam pulang
Bawa sama bulan dan bintang
Lalu ku cari titipan semalam
Dan ku temui nota kemas tersimpan
Tapi coretannya telah hilang

Jan
29
Filed Under (Music, Piece, Story) by Mahadi on 29-01-2009

I had wrote this down on a piece of paper note and put it on a soft board in my room couple of years back during my undergraduate studies.

Reflecting
tornado
day
by
day

Here it goes again. Different place, different time, different situation. Well, world’s spinning, things change.

I’m standing here, in the same body. But does it mean I’m still the same person?

Video Everybody’s Changing oleh Keane, tiada kaitan dengan entri

Jan
27
Filed Under (Berita, Cerita, Kisahnya, Story) by Mahadi on 27-01-2009

Penulis tiba di Dundee sekitar 10.14 malam. Tiada siapa yang menjemput penulis pulang ke kediaman di Blackness Street melainkan pakcik driver teksi yang tersedia menanti di luar stesen keretapi. Bayaran £4.40 itu sangat mencukupi lantaran jarak yang memisahkan kediaman penulis dan stesen keretapi sekitar 30 minit dalam ukuran berjalan kaki secara santai dan bersahaja.

Sandi dan Alona ada dirumah ketika penulis tiba. Sandi ada siapkan nasi beriyani ayam. Memandangkan penulis lebih teruja untuk menggantikan mentol lampu putih yang baru diperoleh, beriyani ayam dikesampingkan buat sementara waktu.

Bilik penulis kini diterangi cahaya lampu putih suci. Tidak lagi seperti sebelum ini, dan juga hampir di mana-mana bilik di UK ini yang diterangi lampu cahaya kuning. Kuning yang mungkinnya romantis, dan kuning yang membuatkan penulis mudah mengantuk setiap kali. “Itu pasal la order mentol dari jauh” jerit hati kecil penulis pada yang kurang mengerti dalam isu pembelian mentol tempoh hari.

Proses penukaran mentol berjalan sempurna. Sesi percubaan juga begitu. Penulis menatap penuh makna segenap isi bilik yang kini dilimpahi pancaran putih suci, bukan lagi warna kuning telur seperti sebelumnya. Dan penulis pun keluar mencari sesuap nasi di dapur. Dan rasa nasi ayam beriyani itu pun boleh tahan juga.

Kredit:
Special Agent Jai- Succesfull in locating, buying and packaging
Special Agent Upi- Successful in transporting and keeping

Jan
26
Filed Under (Karya, Piece) by Mahadi on 26-01-2009

Mentari merangkak pergi
Pancaran kuning itu kian lemah, menghilang
Gerombolan awan beriringan
Menyesar, berantakan

Angkasa kian hitam
Bayu malam menderu, meresapkan kedinginan
Pengembalian sang angin selatan
Dalam kebersamaan
Bulan jua bintang

Bila esok tiba nanti
Terungkaikah kekusutan seribu persoalan?

Brackenbury, Durham 2009

Jan
23
Filed Under (Berita, Piece, Story) by Mahadi on 23-01-2009

Hujung minggu ini pasti antara yang paling sibuk bagi diri penulis.

Esok pagi(Sabtu) penulis akan membawa diri bersama-sama kumpulan melayu Dundee berhaluan kanan ke Aberdeen. Ada kursus kursus solat dianjurkan disana. Apalah kiranya pengetahuan solat Version 1.0(belaja masa derajah satu) yang diupdate sikit-sikit sampai sekolah menengah itu di tingkatkan kualiti kefahamannya serta diberi penambahbaikkan selaras dengan perkembangan institusi akal dan minda yang lebih dewasa.

Perancangannya, seawal pukul 7pagi lagi ahli rombongan dijangka akan menggolekkan tayar. Abang Mahzan yang akan menjadi pemandu-bukan-peribadi penulis sudah memberi amaran awal, “puko ne pat limo(pukul 6.45), siap, turun”. Kalau tak dipenuhi tuntutan, alamat tak merasalah keselesaan ke Aberdeen dalam Vauxhall Astra 1.8 itu.

Kursus dijangka selesai sekitar 9 malam. Jika dibuat kamiran terhadap ruang dan masa bersandarkan parameter halaju, penulis dijangka selamat sampai di Dundee sekitar 11malam.

Esoknya pula (Ahad) penulis akan ke Durham untuk kesekian kalinya. Lebih kurang tiga hari juga penulis akan berada disana. Petang Selasa baru penulis pulang. Jikalau diadaptasi persekitaran Malaysia, sudah tentu penulis dianggap sebagai menyambut(bercuti) raya cina di sana. Train yang dah diorder perjalanannya akan bertolak selepas pukul 7pagi. Walaupun pada saat ini kurang pasti dengan tepat pukul berapa perjalanan akan bermula, penulis sekadar mengingatkan diri ‘kalau salah pun tertinggal train, bukan kapal terbang’. Pengalaman penulis ‘ter’hanyut ke Colombo, Sri Lanka memang sentiasa segar diingatan.

Ya, ada beberapa misi yang perlu penulis selesaikan disana. Ada warkah tanpa tulisan akan dibawa bersama untuk disampaikan kepada penghuni Cantebury Brackenbury. ‘Terpaksa’ juga tuntut barang-barang yang diorder dari Malaysia tempoh hari. Ada teman di Bowburn bakal kembali ke tanah air sedikit masa lagi. Sekurang-kurangnya sempat menitip kata perpisahan.

Oleh kerana matahari semakin meninggi dan sekolah memanggil-manggil dan melambai-lambai, penulis menamatkan dahulu sesi update blog kali ini.

Wassalam

Masa di di University of Aberdeen tahun lepas: Sendiri

Masa di di University of Aberdeen tahun lepas: Sendirian

Jan
16
Filed Under (Cerita, I Still Remember, Kisahnya, Piece) by Mahadi on 16-01-2009

Kipas siling berputar ligat. Tika itu aku keseorangan di bilik. Rumet entah dimana. Cikgu Asuar ada meeting dengan Dr Ishak di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP). Biasanya, petang nanti baru selesai. Jam masih belum menghampiri pukul 3.

Handphone Nokia 3120 tiba-tiba berdering, disapa panggilan dari nombor yang aku tidak kenali.

AA: Wei, Mahadi…
M: Ya, sapa ni?
AA: Ni Abg Amet. Aku kt dalam pulau. Hang ada mana la ni?
M: Oh, Abg Amet, kat bilik kat USM ni, awat?
AA: Hang ada keja apa-apa ka nak buat la ni?
M: La ni takdak apa-apa

Tiba-tiba terlintas aku perlu membuat satu panggilan petang ini sekitar 4.30 dan Cikgu Asuar juga selesai meeting dalam lingkungan masa itu.

M: Tapi petang nanti ada keja lain, awatnya?”
AA: Lagu ni, aku ngan trailer kat dalam Penang ni, depan Seagate. Aku nak pi amik lesen aku baru renew kat Juru, tak jauh ngan Autocity. Hang pi hantar aku sat buleh dak?
M: Lama dak tu?
AA: Sat ja. Lepas setel trus balik la.
M: Ok, tunggu situ. Sat lagi sampai

Aku bingkas bangun. Capai 2 helmet dan terus beredar menuju tempat parkir motosikal. Aku memilih jalan short-cut ke seagate. Tidak sampai 10minit tibalah di destinasi. Kelihatan trailer tanpa muatan berkepala putih sedang parkir di bahu jalan, betul-betul depan kilang elektronik Seagate. Tika itu air laut tengah naik. Aku dapat lihat batu-batu yang ditambak sekitar pantai mulai digenangi air. Air laut masa itu jernih, bayu pula bertiup sepoi-sepoi bahasa. Daun-daun pohon rhu yang memberi keteduhan melambai-lambai.

Aku beri satu helmet pada Abg Amet. Dia gapai dan kami terus meluncur laju menuju ke seberang. Ketika di pertengahan Jambatan Pulau Pinang, EX5 yang kami naiki menunjukkan simptom-simptom kurang bersemangat. Aku tidak terkejut. Agak lama EX5 ini tidak dihantar servis(a.k.a tukar minyak hitam). Maka tidak hairanlah kiranya daya memotong kenderaan-kenderaan lain disepanjang jalan tidak dapat ditunjukkan sepenuhnya. Abg Amet yang membonceng dibelakang sekali-sekala mengomplen betapa banyak kenderaan yang gagal dipotong sempurna. Aku beri alasan bersahaja. Nasib baik adik dia lawa, getus aku dalam hati.

Walupun tika itu bukan waktu puncak, tapi bilangan kenderaan agak banyak. Nasib juga kami guna moto. Mencelah sana, mencelah sini, cilok sana, cilok sini. Akhirnya, sampai jugak kami di destinasi. Abg Amet masuk ke dalam pejabat pos dan aku menunggu di luar. Tidak sampai sepuluh minit, semua urusan selesai. Abg Amet keluar sambil tersengih.

AA: Hang makan dak lagi? Jom pi singgah kedai tu.

Ala, rugi… fikirku dalam hati. Abg Amet nak belanja di kedai nasi kandar tidak jauh dari pejabat pos. Padahal, aku sedang berpuasa. Mungkin bukan rezeki aku kali ni.

M: Tak apalah. Lain kali sajalah. Nak kena balik cepat ni.

Aku cuba beri alasan.

AA: Ish tak mau ka.
M: Takpa la, takut nanti tak dan…
AA: Kalau camtu jom balikla. Nanti lewat pulak hang tu.

Dalam perjalanan pulang aku dapat perhatikan bilangan kenderaan makin bertambah di highway Juru, Jambatan Pulau Pinang, hinggalah sepanjang highway menuju Bayan Lepas. Kami selamat tiba di depan Seagate tempat trailer parking tanpa sebarang masalah. Abg Amet menghulurkan sesuatu. Mungkin pampasan kerana tidak berkesempatan belanja lunch masa itu. Riak wajahnya ada sedikit terkilan. Aku sambut lalu simpan kemas.

Jam sudah menghampiri 4.30 petang tika aku tiba di USM. Aku lantas membuat panggilan ke HR USM sepertimana yang telah dipinta sebelum itu.

>Nanti kami akan panggil interview…

Dipendekkan cerita, itu jawapan yang diberikan kerani yang bertugas. Aku sedikit terkejut. Bersediakah aku, tanyaku dalam hati.

Cikgu Asuar menelefonku sekitar jam 5.30. Khabarnya, meeting dengan Dr Ishak hampir tamat. Aku sudah boleh bersiap sedia.

Menderu aku ke PPIP. Biasanya Cikgu Asuar akan menunggu di depan Dewan Kuliah Z. Namun, tiada sesiapa disitu. Aku cuba call Cikgu Asuar…

>Sikit lagi nak siap, nanti saya call bila dah siap.

Itu katanya. Aku ambil keputusan untuk ke tebing tinggi berdekatan HEP. Pemandangan indah sejauh mata memandang bisa mendamaikan dam mententeramkan jiwa sementara menunggu.

Di tebing, aku lemparkan pandangan ke jauh selat, jambatan dah jauh ke seberang laut sana. Sebahagian lagu “Kehidupan” yang dialunkan oleh The Zikr bermain-main di fikiran.

“Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus, tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu, pasti cerah kembali

Ujian adalah, tarbiah dari Allah
Apakah kita ‘kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari Tuhan”

Cikgu Asuar call tidak lama kemudian. Dia sudah selesai meeting dan menunggu ku depan Dewan Kuliah Z. Dia ajak makan malam di kedai nasi kandar Shariff dekat Minden bila tiba waktu berbuka nanti. Aku mengiyakan sahaja. Selalunya, dia yang akan belanja. Lumrah hidup sebagai student ketika itu.

Aku bawa Cikgu Asuar pulang ke bilik untuk solat asar. Lepas solat, kami terus bertolak ke kedai nasi kandar Shariff. Kelihatan ramai pelanggan sudah beratur ambil giliran. Memang kedai Shariff sebegitu, sangat mendapat sambutan dari dulu.

.